W3C

Pilihan W3C

Pilihan Warna: red  green  blue
Saiz Tulisan:
A- A A+
Jenis Tulisan:
Laman Utama Berita PERASMIAN PUSAT UJIAN MALAYSIAN UNIVERSITY ENGLIST TEST (MUET) YANG PERTAMA DI CHINA

WEIHAI, 19 OGOS 2024 – Harbin Institute of Technology (HIT) Kampus Weihai, Shandong, Republik Rakyat China secara rasminya telah diluluskan oleh Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) sebagai pusat ujian Malaysian University English Test (MUET) yang pertama di China. Kelulusan ini diberikan setelah HIT Kampus Weihai, Shandong lulus tahap pemeriksaan spesifikasi pusat ujian MUET oleh MPM. Pemeriksaan spesifikasi pusat ujian ini telah dilaksanakan sendiri oleh delegasi MPM yang diketuai oleh Ketua Eksekutifnya, iaitu Encik Adnan bin Husin.

Surat kelulusan sebagai pusat ujian MUET telah diserahkan sendiri oleh Ketua Eksekutif MPM kepada HIT Kampus Weihai, Shandong, Republik Rakyat China yang diwakili oleh Prof. Dr. Hongliang Qian, Timbalan Presiden HIT, Kampus Weihai. Dengan penyerahan surat kelulusan tersebut, HIT Kampus Weihai, Shandong secara rasminya telah menjadi pusat ujian MUET di China. Inisiatif pembukaan pusat MUET di HIT Kampus Weihai, Shandong ini adalah hasil kerjasama antara MPM dengan Pejabat Education Malaysia Beijing (EMB) dan rakan strategik MPM di Malaysia, iaitu Malaysia Edu-Cultural Association (MECA). Majlis penyerahan surat kelulusan ini juga turut disaksikan oleh Pengarah EMB, iaitu Encik Muhammad Sallehuddin bin Mohd Dilif dan Pengerusi MECA, iaitu Puan Ayshah Hiew binti Abdullah.

MUET yang diperkenalkan di Malaysia sejak tahun 1999 akan menjadi salah satu pilihan ujian kemahiran berbahasa Inggeris di peringkat antarabangsa untuk diduduki oleh pelajar warganegara Republik Rakyat China yang berhasrat untuk melanjutkan pengajian di Institusi Pengajian Tinggi di Malaysia.

Ketua Eksekutif MPM dalam ucapannya juga turut memaklumkan bahawa MPM telah mengenalpasti prospek pelaksanaan MUET di China sejak tahun 2019. Sebagai usaha menerobos pasaran MUET di China, MPM telah mengambil inisiatif untuk bekerjasama dengan EMB dan menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan beberapa rakan strategik di Malaysia.

Sehubungan itu, kejayaan pembukaan pusat ujian MUET secara rasmi di HIT Kampus Weihai, Shandong hari ini merupakan satu pencapaian MPM ke arah mengembangkan lagi pemasaran MUET sebagai produk Malaysia yang bertaraf antarabangsa ke negara China. Manfaat daripada pembukaan pusat MUET di China ini juga akan memberikan kemudahan kepada pelajar warganegara Republik Rakyat China untuk menduduki ujian ini di China sebelum memulakan pengajian di Malaysia. Inisiatif ini juga selari dengan peningkatan jumlah pelajar China yang sedang menuntut di Malaysia dengan catatan jumlah lebih 40,000 orang pada tahun 2023.

Pengarah EMB, iaitu Encik Muhammad Sallehuddin bin Mohd Dilif dalam ucapannya telah memaklumkan bahawa pemilihan HIT Kampus Weihai, Shandong sebagai pusat ujian MUET di China amat bertepatan dengan kedudukan HIT yang merupakan antara 10 universiti terbaik yang dikelaskan dalam “Projek 211, Projek 985 dan Projek C9 League” oleh Kerajaan China ke arah pengantarabangsaan pendidikan tinggi negara itu. Menurutnya juga, dari segi kedudukan geografi, HIT Kampus Weihai, Shandong juga mempunyai kedudukan yang strategik, berikutan wilayah Shandong yang mencatatkan bilangan permohonan visa pelajar tertinggi dari China yang belajar di Malaysia pada tahun 2023, iaitu hampir 3,000 permohonan. Majlis pada hari ini juga menjadi simbol pengukuhan hubungan diplomatik antara kedua-dua buah negara bagi menyemarakkan lagi sambutan Ulang Tahun ke-50, khususnya diplomasi pendidikan antara Malaysia dan China.

Kehadiran delegasi MPM disambut oleh Prof. Dr. Hongliang Qian, Timbalan Presiden HIT Kampus Weihai, Shandong bersama Prof Dr Ce Zhang, dan Ms. Guodan Liu, yang masing-masing merupakan Dekan dan Pengarah Pusat Pendidikan Antarabangsa universiti berkenaan. Delegasi MPM yang hadir untuk inspektorat pusat ujian dan pada majlis penyerahan surat kelulusan pusat MUET di HIT Kampus Weihai, Shandong ialah Encik Badrul Hisham bin Abdullah, Timbalan Ketua Eksekutif 1 MPM, Dr. Ahmad Zufrie bin Abd Rahman, Pegawai Peperiksaan MUET, dan Encik Muhammad Fiqree Syamim bin Md Aminrol, Pegawai Undang-Undang MPM.

 

Calon Peperiksaan
Orang Awam
JPN
Warga MPM