DALIAN, 14 OKTOBER 2024 – Zhongshan College of Dalian Medical University, Republik Rakyat China secara rasminya telah diluluskan oleh Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) sebagai pusat ujian Malaysian University English Test (MUET) di China. Kelulusan ini diberikan setelah Zhongshan College of Dalian Medical University lulus pemeriksaan spesifikasi pusat ujian MUET oleh MPM. Pemeriksaan spesifikasi pusat ujian ini telah dilaksanakan sendiri oleh delegasi MPM yang diketuai oleh Ketua Eksekutifnya, iaitu Encik Adnan bin Husin.
Surat kelulusan sebagai pusat ujian MUET telah diserahkan sendiri oleh Ketua Eksekutif MPM kepada Zhongshan College of Dalian Medical University, Republik Rakyat China yang diwakili oleh Puan Jin Xin Secretary of the General Party Branch and Dean of Zhongshan Institute of Dalian Medical University. Dengan penyerahan surat kelulusan tersebut, Zhongshan College of Dalian Medical University secara rasminya telah menjadi salah satu pusat ujian MUET di China. Inisiatif pembukaan pusat MUET di Zhongshan College of Dalian Medical University ini adalah hasil kerjasama antara MPM dengan rakan strategik MPM di Malaysia, iaitu HuiHuang International (M) Sdn Bhd. Majlis penyerahan surat kelulusan ini turut disaksikan oleh Pengarah HuiHuang International (M) Sdn Bhd, iaitu Encik Lai Huihuang yang juga Presiden Belt and Road International Education Exchange Association (BRIEEA).
Sehubungan itu, kejayaan pembukaan pusat ujian MUET secara rasmi di Zhongshan College of Dalian Medical University hari ini merupakan satu pencapaian MPM ke arah mengembangkan lagi MUET sebagai produk Malaysia yang bertaraf antarabangsa ke negara China. Manfaat daripada pembukaan pusat MUET di China ini juga akan memberikan kemudahan kepada pelajar warganegara Republik Rakyat China untuk menduduki ujian ini di China sebelum memulakan pengajian di Malaysia. Inisiatif ini juga selari dengan peningkatan jumlah pelajar China yang sedang menuntut di Malaysia yang berjumlah lebih 40,000 orang pada tahun 2023.
Kehadiran delegasi MPM disambut oleh Encik Zhang Peng, Timbalan Presiden Eksekutif Zhongshan College of Dalian Medical University, Puan Dong Fuqiu Timbalan Presiden Eksekutif Dalian Medical University, Puan Liu Yuehua Prof. Madya di Zhongshan School of Dalian Medical University, Encik Su Pengxiang, Pengurus Besar Huihuang International Education Consulting (Beijing) Co., Ltd. Dan Dr Kasim Jalil yang merupakan penasihat akademik Huihuang International Education Consulting (Beijing) Co., Ltd. Delegasi MPM yang hadir untuk inspektorat pusat ujian dan dalam majlis penyerahan surat kelulusan pusat MUET di Zhongshan College of Dalian Medical University ialah Encik Badrul Hisham bin Abdullah, Timbalan Ketua Eksekutif 1, Encik Muhammad Fiqree Syamim bin Md Aminrol, Pegawai Undang-Undang, Dr. Ahmad Zufrie bin Abd Rahman, Pegawai Peperiksaan MUET, dan Encik Amir bin Abdul Jaya, Pegawai Peperiksaan.