Menukar Kertas Atau Mata Pelajaran Atau Menambah Mata Pelajaran
- Jika calon telah mendaftar bagi sesuatu mata pelajaran dan ingin menukar mata pelajaran itu dengan mata pelajaran yang lain selepas tamat tempoh pendaftaran, caj sebanyak RM50.00 akan dikenakan. Penukaran mata pelajaran selepas tamat tempoh pendaftaran hendaklah dikemukakan selewat-lewat sebulan dari tarikh tutup pendaftaran bagi sesuatu semester yang berkenaan. Calon juga tidak dibenarkan untuk menukar mata pelajaran sekiranya peperiksaan pada semester yang berkenaan telah diadakan.
- Jika calon ingin menambah mata pelajaran (calon dibenarkan mengambil maksimum lima mata pelajaran sahaja) selepas tarikh pendaftaran ditutup, caj sebanyak RM50.00 akan dikenakan di samping caj bagi mata pelajaran yang ditambah, iaitu sebanyak RM90.00 per mata pelajaran. Penambahan mata pelajaran hanya boleh dibuat pada semester 1 dan semester 2 sahaja. Bagi peperiksaan kertas bertulis semester 1 yang tertinggal (jika calon membuat pendaftaran pada semester 2 sahaja), calon boleh mendudukinya pada semester 3.
- Calon yang membuat penambahan mata pelajaran pada semester 2 akan dikehendaki mengambil kertas alternatif bertulis yang menggantikan Kerja Kursus. Namun demikian, jika mata pelajaran yang hendak ditambah tidak menawarkan kertas alternatif bertulis yang menggantikan Kerja Kursus, calon akan dikehendaki melaksanakan Kerja Kursus dan penghantaran Kerja Kursus tersebut akan dilanjutkan pada suatu tarikh yang akan ditentukan oleh MPM kemudian. Mata pelajaran ICT tidak boleh diambil sebagai mata pelajaran tambahan pada semester 2. Penambahan mata pelajaran selepas tamat tempoh pendaftaran hendaklah dikemukakan selewat-lewat sebulan dari tarikh tutup pendaftaran bagi sesuatu semester yang berkenaan.
- Calon yang mendaftar selepas tarikh keputusan STPM diumumkan atau calon yang mendaftar lewat kerana gagal memasuki Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) tidak dibenarkan untuk menukar atau menambah mata pelajaran yang telah didaftarkan.
- Bagi calon yang ingin menggugurkan sesuatu mata pelajaran, bayaran bagi mata pelajaran yang digugurkan itu tidak akan dikembalikan.
- Calon tidak dibenarkan untuk menukar atau menggugurkan mata pelajaran sekiranya peperiksaan bagi salah satu kertas untuk mata pelajaran tersebut telah diadakan.
- Calon yang ingin menukar kertas atau mata pelajaran atau menambah mata pelajaran perlu mengisi borang STPM/K14 (Pindaan 2024) yang dapat diperoleh dan dicetak daripada portal Majlis Peperiksaan Malaysia.
Untuk mendapatkan borang STPM/K14 (Pindaan 2024), klik di sini.